Tak Kekok Melawak di Sidang ASEAN, Inilah Pesona Xanana Gusmão Si ‘Panglima Perang’ Yang Humble.
“Sikap beliau yang ramah, merendah diri dan gemar berjenaka mencuri perhatian ramai”
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi tumpuan dunia, bukan sahaja kerana kehadiran Donald Trump, tetapi juga kerana penampilan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão.
Sikap beliau yang ramah, merendah diri dan gemar berjenaka mencuri perhatian ramai, khususnya apabila sempat menghulurkan gula-gula kepada petugas media. Namun di sebalik keperibadian sederhana itu, tersimpan kisah perjuangan panjang seorang pejuang kemerdekaan yang pernah memimpin perang gerila menentang penjajahan Indonesia.
Awal Kehidupan: Dari Guru ke Dunia Politik
Dilahirkan pada 20 Jun 1946 di Manatuto, Timor-Leste, Xanana Gusmão memulakan kerjaya sebagai penjawat awam dan guru sebelum menjadi wartawan di akhbar A Voz de Timor. Pada 1974, beliau menyertai parti Associação Social Democrata (ASDT) yang kemudiannya dikenali sebagai FRETILIN, parti yang memperjuangkan kemerdekaan daripada Portugis.
Namun, selepas kemerdekaan diisytiharkan pada 1975, Indonesia melancarkan pencerobohan besar-besaran yang mengakibatkan Timor Timur berada di bawah pendudukan selama 24 tahun.
Panglima Perang & Simbol Perjuangan Rakyat
Ketika itu, Xanana mengetuai pasukan gerila FALINTIL dan memimpin perjuangan dari hutan dan gunung. Beliau beroperasi secara rahsia sambil mengekalkan semangat rakyat Timor Timur. Dunia hanya mengetahui beliau masih hidup selepas wartawan Australia, Robert Domm, berjaya menemuinya pada 1988, menjadikan Xanana simbol kebangkitan rakyat.
Pada 1992, beliau ditangkap oleh tentera Indonesia dan dipenjarakan di Jakarta. Walau terkurung, Xanana terus menulis, melukis dan merancang strategi perjuangan. Semangatnya tidak pernah padam.
Dari Penjara ke Istana Presiden
Selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1998, Indonesia membenarkan referendum yang akhirnya menyaksikan 78.5% rakyat Timor-Leste memilih kemerdekaan.
Timor-Leste merdeka pada 20 Mei 2002 dan Xanana Gusmão dilantik sebagai Presiden pertama negara itu. Beliau kemudiannya menjadi Perdana Menteri pada 2007, memainkan peranan penting dalam membina semula kestabilan politik, ekonomi dan perpaduan nasional.
Kembali Sebagai Perdana Menteri & Momen Bersejarah ASEAN
Walaupun berundur pada 2014, Xanana kekal aktif sebagai diplomat dalam isu sempadan maritim dan ekonomi biru. Pada 2023, beliau kembali dilantik sebagai Perdana Menteri selepas partinya, CNRT, memenangi pilihan raya umum.
Usaha tanpa jemu beliau akhirnya membuahkan hasil apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN ke-11 pada 26 Oktober 2025. Air mata yang mengalir di pentas sidang kemuncak itu menjadi lambang kejayaan perjuangan yang tidak pernah berhenti.
Legasi Seorang Pejuang
Perjalanan hidup Xanana Gusmão, daripada pejuang gerila kepada negarawan berwibawa mencerminkan kekuatan jiwa dan cinta mendalam terhadap tanah air. Kini beliau bukan sekadar simbol kebebasan Timor-Leste, tetapi juga lambang keberanian dan keutuhan semangat Asia Tenggara.










