Bantuan Kerajaan Kepada Anak Yatim Dan Pelihara. | MALAYSIAKU BARU : Tahukah anda bahawa kerajaan Malaysia telah memperuntukkan bantuan khusus kepada golongan anak yatim atau anak yatim piatu. Bantuan Anak Pelihara (BAP) adalah satu inisiatif yang dikemukakan dalam pembentangan Belanjawan 2024 melalui Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).
Tujuan BAP adalah untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik, yatim mahupun yatim piatu dan tidak mempunyai saudara-mara. Ia membantu kanak-kanak tersebut untuk terus tinggal di dalam masyarakat bersama-sama dengan keluarga penjaga masing-masing.
Selain itu, BAP juga bertujuan untuk meringankan tanggungan keluarga yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti darah daging sendiri. Menurut Kementerian Kewangan, kadar minimum bagi BAP adalah sebanyak RM250 sebulan bagi seorang kanak-kanak. Manakala, jumlah bantuan maksimum sehingga RM500 sebulan diberikan bagi keluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih.
Syarat kelayakan bagi pemohon BAP
Sebelum membuat permohonan, keluarga pelihara yang sedang menjaga kanak-kanak perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Kanak-kanak berumur bawah 18 tahun
2. Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa; atau
3. Kanak-kanak bukan diambil sebagai anak angkat menerusi Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952
Selain itu, kanak-kanak tinggal bersama dengan keluarga pelihara perlu melalui saluran-saluran ini sama ada:
1. Diambil dari “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM; atau
2. Dipelihara di bawah perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001
Cara-cara untuk memohon BAP
Jika keluarga pelihara dan kanak-kanak di bawah jagaan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas, anda boleh membuat membuat permohonan untuk mendapatkan BAP daripada JKM.
Untuk makluman, pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat pada peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian di seluruh negara.
Hal ini bermaksud, siasatan untuk penilaian (means-tested) akan dijalankan bagi setiap permohonan yang didaftarkan. Ini adalah untuk mengesahkan sama ada pemohon layak untuk mendapatkan bantuan.
Proses ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang bersandarkan kepada kelayakan, dan bukannya pada hak.
Sesiapa yang ingin memohon BAP, anda diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat di kawasan masing-masing.
Antara dokumen sokongan yang perlu dibawa pemohon adalah seperti berikut:
1. Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
2. Salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama;
3. Salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama;
4. Salinan penyata gaji (jika ada); dan
5. Lain-lain dokumen yang berkaitan
Selain menyediakan dokumen berkenaan, anda juga perlu melengkapkan borang iaitu JKM 18 Borang Permohonan Bantuan atau JKM 20 Borang Kaji Semula Bantuan.
Sumber: Portal Manfaat